Tuesday, May 26, 2009
KEHADIRAN ORANG BARU

Sentuhan Ronaldo, Messi jadi penentu

BARCELONA - Pemain Terbaik Dunia FIFA, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi perlu mempamerkan aksi yang berlainan sekiranya mahu menghadiahkan kejayaan kepada pasukan masing-masing pada final Liga Juara-Juara.
Pemain sayap Manchester United, Ronaldo yang merupakan penjaring terbanyak kempen Eropah tahun lepas dengan lapan gol, masih belum menemui sentuhan dalam enam pertemuan menentang kelab Sepanyol, termasuk terlepas sepakan penalti pada separuh akhir di Nou Camp musim lalu.
Penyerang Barca, Messi pula meledak lapan gol tahun ini, dua kali ganda lebih daripada Ronaldo. Namun, dia gagal menemui penyudah dalam 10 perlawanan menentang kelab dari England termasuk dua aksi separuh akhir dengan Chelsea.
"Sudah pasti pasukan dari England amat sukar untuk ditentang," kata Messi yang juga bintang Argentina.
"Namun, saya tidak fikir final ini akan menjadi seperti perlawanan- perlawanan lain."
Messi juga melontarkan pujian terhadap kebolehan pencabarnya dari Portugal itu.
"Dia seorang pemain yang hebat dengan kebolehan yang menakjubkan dan jika kamu beri dia ruang, dia akan menggunakannya dengan baik," kata Messi.
Ronaldo, 24, yang juga Pemain Terbaik Eropah pula berkata, terlalu bahaya jika United hanya memberi tumpuan terhadap Messi sahaja kerana Samuel Eto'o dan kapten Perancis, Thierry Henry juga beraksi dengan baik musim ini.
"Sudah tentu Messi sangat berbahaya, namun begitu juga dengan pemain lain," kata Ronaldo.
"Jika bermain untuk diri sendiri, saya tiada peluang untuk memenangi perlawanan ini dan begitu juga dengan Messi. Kunci kepada pertemuan ini ialah pasukan mana yang jarang buat kesilapan." - Reuters
UNITED LEBIH RELA LEPASKAN TEVEZ

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan berusaha keras untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo di Old Trafford.
Begitupun, Ferguson tidak sesekali akan menghalang Carloz Tevez seandainya penyerang Argentina itu meneruskan niatnya untuk meninggalkan United hujung musim ini.
Menurutnya, United memiliki sesuatu yang diinginkan Ronaldo iaitu gelaran juara dan gelaran tersebut sebenarnya sukar diperoleh di tempat lain.
Musim ini, Red Devils sudah meraih tiga trofi iaitu Piala Kelab Dunia, Piala Liga dan Liga Perdana England. Kelab itu juga hanya selangkah untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara apabila berdepan Barcelona pada perlawanan akhir awal pagi Khamis ini.
"Apa yang boleh saya katakan ialah dia (Ronaldo) tidak pernah memberikan bayangan yang dia akan tinggalkan kami," jelas Fergie.
"Malahan, dia cukup gembira dan tenang di sini. Begitu juga dengan saya."
Mengenai Tevez, Ferguson menjelaskan bahawa United sedang berusaha untuk menyelesaikan polemik pembelian pemain tersebut.
Namun, beliau secara peri- badi tidak terlalu ingin untuk mempertahankan pemain itu agar kekal di Old Trafford.
"Ini adalah situasi yang sukar yang kami cuba selesaikan. Tidak banyak yang boleh kami lakukan bila dia berniat untuk tinggalkan kelab.
"Kini ia bergantung kepada kelab mana yang mampu menawarkan jumlah yang diingin- kan oleh ejennya."
Berdasarkan laporan, mana- mana kelab yang ingin mendapatkan khidmat Tevez perlu membayar sekitar £25 juta (RM139 juta) kepada ejen pemain itu, Kia Joorabchian.
Bagi United sendiri, mereka begitu keberatan untuk membayar harga tersebut atas alasan terlalu mahal. - Agensi